1. JANGAN PANIK
Mulakan langkah dengan kaki kanan dan membaca basmallah. Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa anda boleh menjawabnya.
2. KAJIAN TERHADAP TOPIK DAN PEMETAAN MAKLUMAT
Semak sama ada anda memenuhi sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan. Ini bagi memudahkan anda memahami bab berkenaan.
3. SEMAK SOALAN TAHUN LALU (SETIAP SUBJEK)
Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemak soalan tahun lepas untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan. Dengan menyemak soalan-soalan peperiksaan lalu, dapat membantu anda mengetahui soalan yang sebenar.
4. BANYAKKAN PEMBELAJARAN SECARA OUTPUT LEARNING
Bagi persiapan di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran. Secara tidak langsung anda dan rakan anda sama-sama belajar dan mengetahui tentang perkara yang diulang kaji.
5. MEMPERBANYAKKAN LATIH TUBI DAN UJIAN SIMULASI
Satu cara untuk menguji sejauh mana kefahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latih berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah. Malah dengan cara ini dapat mendisiplinkan anda menjawab soalan peperiksaan dengan lebih yakin mengikut ketetapan masa yang diperuntukkan.
6. NOTA RINGKAS
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan pada waktu terluang seperti ketika menunggu waktu balik.
7. PASTIKAN MENDAPAT TIDUR DAN REHAT SECUKUPNYA
Biar sibuk mana sekalipun dan penat mengulang kaji pelajaran, anda perlu mendapat tidur dan rehat secukupnya. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.
8. PEMAKANAN BERKHASIAT DAN SEIMBANG
Anda perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi memastikan kesihatan dan kecerdasan tubuh badan. Elakkan mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafien kerana anda mungkin sukar untuk tidur dan akan hilang tumpuan.
9. KAWAL EMOSI
Anda perlu pertimbangan wajar dalam mengawal emosi. Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi terutama pada saat akhir anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan dan hilang tumpuan ketika menjawab soalan kelak.
10. BANYAKKAN BERDOA DAN BERSOLAT
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT. Anda perlu memperbanyakkan solat tahajud dan berdoa memohon bantuan dariNya. Akhir sekali bertawakallah kepada Allah SWT atas segala usaha yang telah anda lakukan. Sebelum melangkah keluar dari rumah, pohonlah kemaafan dan keredaan daripada kedua ibu bapa. Begitu juga sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan dari guru.
No comments:
Post a Comment